Followers

Monday, October 4, 2010

UNWTO perlu rangka garis panduan pelancongan mesra alam: TPM

KOTA KINABALU: Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyaran Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNWTO) supaya mewujudkan garis panduan khusus bagi mengurus pelancongan mesra alam.

Timbalan Perdana Menteri berkata, maklumat dan teknologi terkini mengenai pelancongan mesra alam, perlu disebarkan untuk faedah bersama.
"Dalam usaha kita meletakkannya (pelancongan) di hadapan dari segi menjana pendapatan dalam negara, kita mahu memastikan alam sekitar tidak terjejas.
"Aplikasi teknologi hijau kini biasa tetapi masih di peringkat awal. Itulah sebabnya terdapat keperluan mewujudkan garis panduan khusus mengenai bagaimana pelancongan mesra alam perlu diuruskan oleh kerajaan dan mereka yang berkepentingan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pelancongan Dunia 2010, di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, Malaysia mengakui akan kepentingan alam sekitar dan pemuliharaannya di bawah pelancongan mesra alam.

"Banyak pelancong mahu beralih dari bandar raya. Mereka mahu menikmati alam sekitar yang perlu dipulihara untuk generasi akan datang," katanya.

Ditanya bagaimana Malaysia mengimbangi usaha dalam mempromosikan teknologi hijau dan pembangunan sebagai negara membangun, Muhyiddin berkata negara mempunyai banyak dasar termasuk untuk pelancongan dan alam sekitar.
Beliau berkata, Malaysia akan terus memberi tumpuan kepada pengurusan alam sekitar di bawah pembangunan pelancongan mesra alam.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata teknologi hijau berpotensi menjadi pemacu bagi menjana bidang pertumbuhan baru dan menggalakkan pembangunan mapan.

Oleh itu, beliau berkata penekanan yang sewajarnya seharusnya diberikan dalam mempromosikan teknolgi eko pelancongan.

"Pada masa yang sama, ini akan memastikan pelancongan menyumbang kepada agenda pembangunan mapan antarabangsa.

"Inisiatif mesra alam yang mengambil kira tentang alam sekitar oleh penyedia produk dan perkhidmatan pelancongan memberikan premium yang lebih tinggi," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, UNWTO seharusnya menimbang keperluan untuk membangunkan satu mekanisme atau memperkenalkan standard kemahiran kerja, pemindahan teknologi dan kecekapan serta amalan terbaik dalam pelancongan mesra alam.

Mengenai industri pelancongan global, Muhyiddin berkata berdasarkan kepada prestasi suku pertama, satu panel pakar UNWTO menyatakan keyakinan yang pelancongan akan terus pulih.

"Tinjauan masa depan pelancongan adalah menggalakkan. Ketibaan pelancong dari Januari hingga April tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak tujuh peratus berbanding dengan tempoh yang sama pada 2008 dengan rantau Asia dan Pasifik mencatatkan kenaikan 12 peratus.

"Pertumbuhan positif ini akan menyediakan anggota Asia dan Pasifik ke arah pemulihan pantas melalui usaha yang lebih berkesan dalam menarik sejumlah besar pelawat ke rantau ini di masa depan," katanya. - BERNAMA

0 comments: