Followers

Wednesday, October 13, 2010

Tuanku Mizan anugerah biasiswa kepada 12 penerima

KUALA LUMPUR: Tuanku Mizan Zainal Abidin, hari ini berkenan mengurniakan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong kepada 12 graduan bagi melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) di universiti tempatan dan luar negara, pada satu majlis di Dewan Kecil, Istana Negara di sini.
Enam penerima PhD ialah Nur Tantiyana Ali Othman, 25, yang melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan kimia di Universiti Nihon, Tokyo; Nurul Shazini Ramli, 23, dalam bidang Sains Pemakanan di Universiti Putra Malaysia; Hong Siaw Swin, 25, bidang Sains Komputer di Universiti Putra Malaysia; Mohd Syukri Yahya, 29, bidang kejuruteraan mekanikal di Institut Teknologi Massachusetts (MIT), Amerika Syarikat; Mohd Faidz Mohamad Shahimin, 24, bidang mikrobiologi persekitaran di Universiti Alberta, Kanada, dan Mohd Firdaus Abd Wahab, 28, dalam bidang bionanoteknologi di Universiti Oxford, United Kingdom.
Enam penerima biasiswa di peringkat sarjana ialah Meor Amer Reza Meor Hazizi, 28, yang mengikuti pengajian kejuruteraan biomedikal di Kolej Imperial, London; Tan Kang Ming, 22, dalam bidang kejuruteraan kimia di Universiti Cambridge, United Kingdom; Nurliyana Rusli, 23, bidang rekaan kebandaran di Universiti Melbourne, Australia; Aishah Najiah Dahnel, 24, kejuruteraan sistem pembuatan di Universiti Warwick, United Kingdom; Wan Nur Firdaus Wan Hassan, 23, bidang kejuruteraan awam geoteknik di Universiti Teknologi Malaysia; dan Nor Hasnida Nor Sukri, 23, bidang sains rekaan di Universiti Sydney, Australia.
Biasiswa itu, yang diperkenalkan oleh kerajaan pada 2006 menerusi Jabatan Perkhidmatan Awam, diberikan kepada warga Malaysia yang cemerlang dalam akademik, selain menghasilkan karya kreatif dan inovasi serta mendapat tempat di universiti terkemuka di dalam dan luar negara.

Penerima termuda, Nurul Shazini, berkata pemberian biasiswa itu mendorongnya untuk meneruskan kajian dalam mencari penawar penyakit kencing manis.

"Biasiswa ini umpama harapan rakyat Malaysia kepada saya bagi mencari penawar kepada penyakit diabetis," katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Mohd Syukri Yahya, yang juga pensyarah Universiti Tenaga Nasional di Bangi, pula berazam untuk berbakti kepada negara dalam bidang nuklear sebaik tamat pengajiannya di MIT. - BERNAMA

0 comments: