Followers

Sunday, October 10, 2010

PM umum peruntukan RM6.5 juta untuk penduduk Taman Seri Sentosa

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM6.5 juta untuk kerja-kerja membaik pulih dan mengecat semula blok-blok Perumahan Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama, di sini.

Beliau berkata, peruntukan khas berkenaan adalah berikutan terdapat sebahagian besar kawasan perumahan di taman itu yang kelihatan daif dan usang serta memerlukan penambah baikan.
"Saya mendengar keluhan dan rintihan masyarakat di Taman Seri Sentosa, Taman Seri Pinang dan Taman Ria, yang di mana kawasan ini adalah kawasan pemindahan banjir. Alhamudlillah, kawasan ini tidak banjir lagi.
"Cuma keadaan di sini boleh dikatakan agak comot. Justeru itu, kerajaan telah sediakan peruntukan untuk mengecat semula flat-flat ini seperti mana permohonan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Raja Nong Chik (Raja Zainal Abidin) tadi yang memohon kepada saya supaya kerajaan meluluskan peruntukan khas mengecat dan membaik pulih di kawasan ini.

"Saya berharap dengan peruntukan RM6.5 juta ini, semua penduduk di sini akan hidup dalam keadaan yang selesa dan lebih baik," katanya ketika berucap pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Parlimen Lembah Pantai di sini, hari ini.

Kerja-kerja pemulihan segera yang perlu dijalankan termasuk pembaikan atau penggantian empat buah lif dan mengecat semula 59 buah blok perumahan melibatkan Taman Seri Sentosa, Taman Sri Pinang dan Taman Ria AC4.

Peruntukan itu akan disalurkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) oleh kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, dan akan dipantau oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Najib berkata, amalan baik seperti amalan rumah terbuka harus diteruskan kerana ia adalah satu wadah yang boleh memupuk rasa muhibah dan keprihatinan di antara semua kaum dan agama dalam negara ini.

Malah, Perdana Menteri berkata, amalan rumah terbuka yang sentiasa membabitkan setiap lapisan masyarakat di negara ini, adalah satu keunikan yang membezakan Malaysia daripada negara-negara lain di dunia.

Selain itu, Najib berkata, dalam usaha kerajaan untuk mentransformasikan negara kepada sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020, sokongan dan kerjasama daripada rakyat adalah penting bagi melaksanakan rancangan pembaharuan serta pelaksanaan dasar serta program yang telah disusun oleh kerajaan.

"Pembaharuan ini bukan sahaja di atas rancangan dan pelaksanaan dasar dan program serta projek kerajaan. asasnya mestilah mendasari sokongan rakyat yang padu bukan semata-mata kita berkehendakkan kuasa tapi kita hendak kuasa untuk membuat perubahan dan memberi pengharapan baru kepada rakyat untuk membawa negara kita ke mercu kejayaan yang lebih hebat lagi," katanya.

Terdahulu, Najib mengadakan tinjauan mesra bagi melihat situasi kawasan perumahan dan menyampaikan sumbangan dalam bentuk barangan keperluan harian dan wang tunai kepada tiga penghuni rumah di Taman Seri Sentosa.

Lebih 20,000 pengunjung turut sama pada majlis rumah terbuka, selain menikmati hidangan, tetamu juga mengambil peluang beramah mesra dengan Perdana Menteri. - BERNAMA

0 comments: