Followers

Saturday, October 23, 2010

Pihak berkuasa agama perlu elak sindrom bisu: UMNO Perak

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa agama perlu mengelakkan "sindrom bisu" apabila berhadapan dengan isu membabitkan agama Islam khususnya yang ditimbulkan oleh parti politik kerana ia boleh menimbulkan perpecahan umat selain menimbulkan persepsi negatif terhadap Islam.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Datuk Rosli Husin, berkata sebaliknya Majlis Agama Islam di negeri-negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu agresif dengan sepakat dan senada bagi membuat penjelasan segera berkaitan soal hukum dan fatwa agar difahami umum.
"Teguran-teguran dan nasihat lebih banyak datang dari pentas politik daripada majlis fatwa atau Jakim seperti isu tazkirah oleh ADUN wanita bukan Islam dari DAP, isu duit sumbangan dari wang judi lumba kuda kepada umat Islam di Pulau Pinang, isu khatib mendoakan kesejahteraan kepada Lim Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang) dan banyak lagi.
"Walaupun soal hal ehwal agama Islam adalah di bawah kuasa kerajaan negeri, tidak bermakna keseragaman tidak boleh dicapai. Fenomena ini boleh menjejaskan kedaulatan dan kesucian Islam itu sendiri, malah persepsi negatif pasti akan tercetus daripada pandangan bukan Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul agama dan pendidikan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2010 di sini hari ini.

Rosli juga mencadangkan supaya JAKIM dinaiktaraf kepada sebuah kementerian penuh agar pemerkasaannya dapat membantu memperkemaskan dan menyelaraskan segala urusan yang berkaitan Islam di negara ini.

"Tindakan drastik tentunya dapat dibuat tanpa menunggu keputusan peringkat negeri terutamanya berkaitan dengan akidah, ajaran sesat, kes tukar agama, kes pembuangan bayi, kes anak serta hamil luar nikah dan sebagainya.
"Ini juga dapat mengelakkan daripada pandangan yang berbeza dan bercanggah tentang sesuatu isu yang berbangkit yang akhirnya kita akan dapati kesucian dan kedaulatan Islam itu dapat diurus tadbir dengan berkesan dan menjadi rujukan mudah masyarakat Islam," katanya. - BERNAMA

0 comments: