Followers

Wednesday, October 6, 2010

Najib selamat pulang ke tanah air dari Brussels

SEPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selamat pulang ke tanah air hari ini, selepas mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) Ke-8 di Brussels, Belgium selama dua hari bermula Isnin lalu.

Pesawat khas yang membawa beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, kira-kira jam 6.20 petang.
Penyertaan Malaysia di Sidang Kemuncak ASEM ke-8 itu dilihat memberi peluang di mana pandangan Malaysia dapat disuarakan serta pendirian negara terpelihara terutamanya bagi isu-isu antarabangsa.
Ia juga dapat meningkatkan peranan dan komitmen Malaysia yang berterusan terhadap ASEM secara keseluruhan.

Dengan tema "Kualiti Hidup, Pencapaian Kesejahteraan yang Besar dan Lebih Bermartabat untuk Semua Rakyat", atau secara ringkasnya "Kualiti Hidup", sidang kemuncak itu membahaskan pelbagai isu yang menjadi perhatian bersama masyarakat Asia dan Eropah.

Sepanjang berada di sana, Najib mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawat dari Asia dan Eropah, membincangkan pelbagai isu yang menjadi perhatian bersama, selain menyampaikan ucapannya semasa perbincangan topik "Urus Tadbir Kewangan dan Ekonomi".

Beliau juga menyertai pemimpin ASEM dalam Forum Perniagaan Asia-Eropah yang terdiri daripada ahli perniagaan dan tokoh industri ekonomi serta kewangan dari Asia dan Eropah.
Selasa, Malaysia dan Suruhanjaya Eropah (EC) turut melancarkan rundingan untuk Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (EU)(MUEFTA) dan Perjanjian Kerjasama dan Persahabatan (PCA), menandakan kerjasama baru antara kedua-dua pihak.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, rundingan itu akan dimulakan pada Disember ini, dan menyuarakan harapan supaya ia diselesaikan dalam tempoh 18 bulan atau tidak lewat dari dua tahun. - BERNAMA

0 comments: