Followers

Monday, October 11, 2010

Melaka hulur bantuan kewangan kepada keluarga mangsa nahas

MELAKA: Kerajaan Melaka mengucapkan takziah dan menghulurkan bantuan kewangan kepada keluarga mangsa yang terbunuh dalam satu kemalangan ngeri membabitkan dua bas, sebuah van dan tiga kereta di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat dekat sini, petang semalam.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata kerajaan negeri memberikan bantuan sebanyak RM1,000 bagi menguruskan pengkebumian setiap jenazah manakala mangsa yang cedera parah juga diberi RM1,000 dan cedera ringan sebanyak RM500.
"Kepada semua keluarga yang terbabit saya harap mereka bersabar," katanya kepada pemberita selepas menziarahi jenazah mangsa kemalangan itu di Hospital Melaka di sini, awal pagi hari ini.
Turut menziarahi mangsa, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob, dan isteri, Toh Puan Zurina Kassim; Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Othman Muhamad; dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Omar Kaseh.

Dalam kemalangan ngeri jam 6.40 petang semalam, seramai 12 orang maut manakala lebih 40 lagi cedera.

Semua mangsa yang meninggal dunia dan 11 yang cedera dihantar ke Hospital Melaka manakala mangsa lain dihantar ke Hospital Tampin dan Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban.

Mohd Ali akan mencadangkan kepada kerajaan supaya kelajuan bas ekspres dihadkan tidak melebihi 90 kilometer sejam, sebagai langkah membendung kemalangan seumpama itu.
Suasana sedih dan tangisan anggota keluarga menyelubungi bilik mayat hospital Melaka sebaik jenazah 12 mangsa kemalangan itu tiba jam 12 tengah malam tadi.

Mohd Ali berada di bilik mayat itu sehingga 4.30 pagi tadi bagi mententeramkan anggota keluarga yang begitu sedih selepas dipanggil untuk membuat pengecaman jenazah terbabit.

Sebuah balai polis bergerak diwujudkan berhampiran bilik mayat itu bagi memudahkan anggota keluarga terbabit berurusan.

Setakat ini, kawasan bilik mayat itu dipenuhi dengan anggota keluarga mangsa yang menunggu untuk membawa pulang jenazah bagi dikebumikan di kampung masing-masing hari ini.

Bedah siasat dan pengecaman mangsa yang terbunuh dijangka selesai pagi ini. - BERNAMA

0 comments: