Followers

Friday, October 8, 2010

Malaysiakini, Zunar dibenar cabar pengharaman buku

KUALA LUMPUR: Portal web berita Malaysiakini.com danseorang penerbit buku kartun politik hari ini diberi kebenaran oleh Mahkamah
Tinggi untuk mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri mengharamkan penjualan duabuku.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zawawi Salleh memberi kebenaran untuk
semakan kehakiman yang dikemukakan oleh kedua-dua pemohon agar perintah
pengharaman penjualan kedua-dua buku itu dibatalkan selepas mendengar hujah
daripada peguam pemohon, K. Shanmuga, dan Peguam Kanan Persekutuan Noorhisham
Ismail yang mewakili responden.

Shanmuga memberitahu pemberita bahawa Noorhisham tidak membantah terhadap permohonan itu dan mahkamah menetapkan 8 Nov ini untuk pengurusan kes.

Shanmuga mewakili pemohon, MKINI Dotcom Sdn Bhd dan syarikat penerbitan,
Sepakat Efektif Sdn Bhd, manakala Noorhisham mewakili Menteri Dalam Negeri dan
timbalannya.

Pada 26 Julai lepas, MKINI Dotcom, yang mengendalikan Malaysiakini dan
Sepakat Efektif, bagi pihak Zulkiflee SM Anwarul Haque, seorang kartunis politik
dengan nama pena 'Zunar', memfailkan dua permohonan berasingan bagi mencabar
keputusan mengharamkan buku bertajuk '1 Funny Malaysia' dan 'Perak Darul
Kartun'.

Dalam permohonan itu, MKINI Dotcom berkata buku versi Inggeris, '1 Funny
Malaysia', diterbitkan oleh Malaysiakini pada November 2009 di mana hampir semua
kartun dalam buku itu disiarkan dalam web Malaysiakini dari Oktober 2006 hingga
November 2009, adalah kompilasi kartun yang dihasilkan oleh Zunar yang
mengandungi kartun-kartun politik berbentuk sindiran atau satira mengenai isu
polilik Malaysia dan pentadbiran.

Dalam permohonannya, syarikat penerbitan itu berkata buku versi Bahasa
Melayu 'Perak Darul Kartun', diterbitkan pada November 2009 dan menyiarkan
kartun politik oleh beberapa artis tempatan yang dipimpin oleh Zunar.

Mereka berkata pada 25 Mei lepas, Timbalan Menteri Dalam Negeri bagi pihak
menteri telah mengeluarkan perintah melarang penerbitan, produksi, penjualan,
pengedaran atau pemilikan dua buku itu dengan alasan ianya memudaratkan
ketenteraman awam.

MKINI berkata kartun dalam buku itu telah diterbitkan di laman web
berkenaan lebih dua tahun dan buku itu telah berada di pasaran selama tiga bulan
sebelum dirampas.

Sepakat Efektif pula mendakwa buku 'Perak Darul Kartun' telah berada di
pasaran selama enam bulan sejak November 2009 dan mereka tidak menerima
sebarang laporan mengenai buku itu mengancam ketenteraman awam.

Pemohon menuntut antara lainnya perintah membatalkan pengharaman buku itu dengan alasan pengharaman itu tidak sah kerana melanggar Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan juga bertentangan dengan Perkara 5 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. -- BERNAMA

0 comments: