Followers

Saturday, October 16, 2010

Konvensyen bukti UMNO Terengganu sepakat: Hishammuddin

KUALA TERENGGANU: Konvensyen Terengganu 2010 yang diadakan hari ini memberi gambaran jelas bahawa UMNO Terengganu yang sebelum ini menghadapi masalah dalaman, kini semakin pulih, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, berkata konvensyen yang bertujuan membincangkan hala tuju dan masa depan parti membuktikan kesepakatan di kalangan pemimpin UMNO negeri itu semakin utuh.
"Tidak dinafikan berlaku perselisihan, salah faham dan masalah dalam parti sebelum ini, namun ia tidak kritikal seperti yang digembar-gemburkan.
"Ia berlaku di mana-mana. Setidak-tidaknya kita tidak bertumbuk atau membaling kerusi, macam yang kita lihat dalam mesyuarat cabang PKR (Parti Keadilan Rakyat)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan konvensyen itu di sini hari ini.

Yang hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan semua lapan Ketua Bahagian UMNO negeri beserta kira-kira 1,200 peserta yang terdiri daripada pemimpin sayap-sayap parti dan jemputan khas.

Mengulas mengenai masalah dalaman yang melanda UMNO Terengganu sebelum ini, Hishammuddin berkata keadaan kini sudah banyak berbeza berbanding setahun yang lalu ketika masalah memuncak.

"Dalam UMNO, pendokongnya akan tetap bersatu terutama dalam menentukan hala tuju parti atau dalam perkara yang berkaitan dengan masa depan parti.
"Dalam sejarah UMNO sebelum ini pun pernah kita melalui detik-detik cemas yang lebih kritikal dan selalunya kita keluar dalam ujian dalam keadaan parti lebih kuat dan matang," katanya.

Beliau juga berkata konvensyen khas yang julung kali diadakan itu turut bertujuan memantapkan hala tuju serta meningkatkan prestasi pentadbiran kerajaan negeri yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) dan UMNO khususnya.

"Ia akan dijadikan asas persiapan awal UMNO Terengganu menghadiri Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putera, Kuala Lumpur Khamis ini," katanya.

Hishammuddin yang dilantik mempengerusikan Jawatankuasa Usul pada Perhimpunan Agung UMNO nanti berkata sebanyak tiga usul akan dibawa dan dibahaskan iaitu yang melibatkan usul ucapan dasar presiden, usul ekonomi serta usul agama dan pendidikan.

"Usul-usul ini antara lain menentukan hala tuju, harapan pucuk pimpinan dan harapan orang ramai terhadap Umno sendiri dan disesuaikan mengikut keadaan semasa dan selari dengan transformasi yang dibawa Presiden," katanya. - BERNAMA

0 comments: