Followers

Friday, October 15, 2010

Kerajaan tingkatkan usaha modenkan sektor pertanian

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengenal pasti beberapa langkah dalam usaha memodenkan sektor pertanian demi meningkatkan tahap sara diri dan memastikan bekalan makanan terjamin, demikian menurut Laporan Ekonomi 2010/2011 yang dikeluarkan hari ini.
Antara rancangan tersebut ialah program Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara di mana RM190.8 juta sudah diperuntukkan dalam Bajet 2010 untuk menaiktaraf dan meningkatkan infrastruktur dalam sistem saliran dan pengairan bagi penanaman padi.
Bagi meningkatkan mutu bekalan air pula, Skim Pengairan Padi di Besut dimulakan tahun ini dan dijangka siap menjelang 2014 melalui projek Empangan Paya Peda.
Selain itu, industri akuakultur dalam tujuh bulan pertama tahun ini telah membabitkan 47 program latihan keusahawanan membabitkan 800 pembiak baka.

Dalam usaha berterusan, kerajaan melaksanakan program inkubator yang melatih dan membimbing golongan belia untuk melahirkan golongan usahawan yang berjaya.

Justeru, sebuah pusat inkubator di Kuala Kedah sedang dibina dan dijangka siap menjelang April 2011 ini bagi membolehkan usahawan mengeksport lebih banyak hasil pertanian negara.

Sehubungan itu, kerajaan mengambil langkah untuk menaiktaraf kemudahan kargo udara melalui MASkargo dengan kemudahan kargo udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan memperluaskan kawasan gudang yang meliputi 5,700 meter persegi dengan pelbagai inisiatif IT untuk meningkatkan kecekapan serta mematuhi piawaian antarabangsa. - BERNAMA

0 comments: