Followers

Monday, October 18, 2010

Kerajaan timbang tindakan ke atas guru buat kenyataan berbaur perkauman: Nazri

KUALA LUMPUR: Kerajaan kini dalam proses akhir untuk mengambil tindakan terhadap dua guru, masing-masing di Johor dan Kedah, yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman Ogos lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata siasatan menyeluruh sedang dilakukan dengan menimbang semua keterangan daripada saksi terbabit agar keputusan yang diambil kelak adalah satu keputusan yang adil kepada semua pihak.
"Semua pihak harus faham ini adalah kali pertama seorang pegawai kerajaan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman. Jadi makan masa sedikit (untuk siasat dan ambil tindakan)," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang ingin tahu mengapa kerajaan lambat mengambil tindakan terhadap guru terbabit.

Nazri berkata, situasi ketika kejadian juga perlu diambil kira sebelum sesuatu hukuman dijatuhkan, sama ada guru berkenaan benar-benar mempunyai niat menghasut atau berada dalam keadaan marah.

"Paling penting, mereka telah digantung tugas serta-merta bagi membolehkan siasatan dijalankan. Siasatan perlu mendalam sebelum mereka boleh disabitkan dengan pertuduhan. Kita tak mahu penyiasatan yang flip-flop akhirnya menyebabkan keputusan yang dibuat tidak memuaskan hati," katanya.

Terdahulu, menjawab soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) tentang tindakan yang telah diambil terhadap guru terbabit, Mohamed Nazri berkata guru besar di Kulai, Johor sedang dalam prosiding tatatertib dan ditempatkan di Jabatan Pelajaran Negeri Johor.
"Bagi kes di Bukit Selambau, Sungai Petani pula, guru itu telah diberi amaran oleh Kementerian Pelajaran. Beliau telah memohon maaf secara terbuka dan kini ditempatkan di Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Muda," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) tentang adakah kerajaan turut bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Namewee yang mengulangi perbuatan bersifat perkauman, Nazri berkata:

"Kita tetap akan ambil tindakan terhadap Namewee tapi mesti berdasar kepada fakta yang menyabitkannya. Dia bukan pegawai kerajaan jadi kita tak boleh ambil tindakan terhadapnya sebagai seorang pegawai kerajaan.

"Laporan polis telah dibuat dan kita sedang timbang beberapa undang-undang untuk mengambil tindakan terhadapnya." - BERNAMA

0 comments: