Followers

Sunday, October 24, 2010

Kerajaan Sarawak anggap media rakan kongsi sebarkan maklumat

KUCHING: Kerajaan negeri Sarawak menganggap kalangan media di negeri itu sebagai "rakan kongsi" mereka untuk menyebarkan maklumat tepat, terutamanya berhubung pembangunan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE), kata Menteri Kedua Perancangan dan Pengurusan Sumber negeri, Datuk Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata, adalah mustahak untuk memperbetulkan tanggapan salah oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari luar negara, yang sengaja menggambarkan pelaksanaan SCORE sebagai membawa kesan buruk kepada alam sekitar manakala penduduk setempat pula kehilangan tempat tinggal akibat projek pembinaan empangan Bakun.
"Sebaliknya, media tempatan perlu menonjolkan aspek positif pembangunan Score, yang menjana peluang pekerjaan dan pendapatan tinggi untuk rakyat," katanya pada majlis anugerah peraduan Esei Kenegaraan dan Apresiasi Media 2010, anjuran Jabatan Penerangan Sarawak di sini, malam tadi.
Empangan hidro Bakun di Belaga terletak di bawah SCORE.

Awang Tengah turut berharap jabatan tersebut dapat memberi tumpuan kepada usaha untuk mengajak rakyat supaya tidak lari daripada melihat SCORE sebagai peluang keemasan untuk mengembang dan mempercepatkan pembangunan ekonomi negeri ini.

"Memang mudah untuk mempengaruhi pemikiran rakyat yang bukan sahaja setakat adik kakak yang berada di kampung dan pedalaman tetapi termasuk mereka yang bijak pandai dengan pemikiran yang sempit dan tidak berpandangan jauh", kata Awang Tengah, yang juga Menteri Kemudahan Awam Negeri.

Terdahulu, Pengarah Penerangan Sarawak, Resat Salleh, berkata peraduan itu dianjurkan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai sejarah negara, dasar dan program pembangunan kerajaan serta komitmen rakyat dalam proses pembangunan negara melalui budaya membaca dan menulis.
Tajuk menarik dan relevan dipertandingkan tahun ini termasuk SCORE, Gagasan 1Malaysia, Pembangunan negeri Sarawak, Program Transformasi Kerajaan dan Bajet 2010 yang merangkumi kategori Bahasa Malaysia, Inggeris dan Iban. - BERNAMA

0 comments: