Followers

Thursday, October 7, 2010

Timbalan PM Thai letak jawatan esok

BANGKOK: Timbalan Perdana Menteri Thailand, Suthep Thaugsuban akan meletakkan jawatannya esok untuk bertanding dalam pilihan raya Parlimen akhir bulan ini.

Suthep yang bertanggungjawab dalam soal keselamatan berkata beliau akan mengemukakan surat peletakan jawatan itu kepada Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva, esok.
Suthep yang juga setiausaha agung parti Demokrat akan bertanding dalam pilihan raya di kawasan Surat Thani 1 pada 30 Oktober.
Kerusi itu kosong selepas Mahkamah Agung mendapati penyandang dari parti Demokrat, Chumpol Kanchana, bersalah kerana membuat pengisytiharan palsu mengenai harta-hartanya.

Kawasan itu bukan asing kepada Suthep kerana beliau pernah menjadi Ahli Parlimen di sana sehingga meletakkan jawatan tahun lalu selepas dituduh oleh Suruhanjaya Pilihan Raya melanggar peraturan kerana memiliki saham dalam sebuah syarikat berkaitan kerajaan.

Beliau kemudian dilepaskan Mahkamah Perlembagaan.

Banyak spekulasi dibuat media tempatan mengenai penyertaan Suthep dalam parlimen sebagai rancangan sokongan jika parti Demokrat yang memerintah dibubarkan oleh mahkamah kerana melanggar undang-undang pilihan raya.
Parti Demokrat kini menghadapi dua kes perundangan yang boleh menyebabkan parti berusia 64 tahun itu dibubarkan dan pengharaman pemegang jawatannya.

Parti itu didakwa menerima sumbangan haram berjumlah 258 juta Baht (kira-kira RM26.5 juta) pada 2005 dan begitu juga dengan dakwaan bahawa parti itu telah menyalah guna 29 juta Baht (kira-kira RM2.98 juta) yang diberikan pada 2005 daripada biro dana politik Suruhanjaya Pilihan Raya.

Mahkamah dijangka membuat keputusan mengenai perkara itu, bulan depan.

Abhisit adalah pemimpin parti manakala Suthep bukan pemegang jawatan pada 2005.

Suthep disebut-sebut mengambil alih kepimpinan dan menubuhkan sebuah parti baru bagi mengekalkan kerajaan campuran sedia ada jika keadaan yang lebih buruk berlaku.

Bagaimanapun, Suthep menafikan semua spekulasi itu. - BERNAMA

0 comments: