Followers

Tuesday, October 5, 2010

Islam bukan satu ancaman: Najib

BRUSSELS: Datuk Seri Najib Razak menyampaikan ingatan kepada masyarakat antarabangsa bahawa Islam bukan satu ancaman dan bahawa Islamophobia sering dicetuskan oleh ekstremis dalam semua agama.

Perdana Menteri berkata, masyarakat antarabangsa perlu melihat Malaysia sebagai contoh jelas bagaimana rakyat dari pelbagai agama dapat hidup bersama secara harmoni.
Bercakap pada perbincangan meja bulat media yang dihadiri pertubuhan media antarabangsa yang berpangkalan di sini, Najib berkata konflik yang timbul bukan di antara agama tetapi antara ekstremis dan puak sederhana bagi semua agama. "Islam tidak sepatutnya satu masalah asalkan wujud kesederhanaan dalam semua agama," katanya.

Islam adalah antara perkara yang dibangkitkan semasa sesi itu dan Najib ditanya berhubung cara Malaysia menangani persepsi terhadap agama di kalangan masyarakat Eropah di tengah-tengah perundingan perjanjian perdagangan bebas Eropah-Malaysia, yang akan dilancarkan di sini hari ini.

Najib berkata adalah lebih baik jika masyarakat Eropah dapat menyertai dialog dengan negara-negara Islam sederhana seperti Malaysia.

Sambil menyatakan bahawa beliau tidak merestui tindakan golongan ekstremis, Najib berkata usaha bagi menyelesaikan Islamophobia ialah mencari jalan penyelesaian jangka panjang kepada isu rakyat Palestin.
Katanya nasib rakyat Palestin, yang telah dinafikan hak mereka, "menyentuh perasaan di kalangan dunia Islam."

"Setengah orang berasa jika tiada lagi harapan, apa lagi yang ada untuk menyambung hidup," katanya sambil menambah sebaik masalah rakyat Palestin diselesaikan, keganasan akan reda. - BERNAMA

0 comments: