Followers

Wednesday, September 22, 2010

Urusetia kontinjen Malaysia berlepas ke New Delhi esok

KUALA LUMPUR: Satu pasukan awal urusetia kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel akan berlepas ke New Delhi, India esok bagi meninjau dan menilai segala aspek persiapan terakhir tuan rumah sebelum temasya bermula dari 3 hingga 14 Oktober.

Pengurus Besar Sukan Komanwel, Jefri Ngadirin yang mengetuai urusetia itu, berkata pasukan yang terdiri daripada tujuh pegawai turut disertai seorang doktor dan seorang pegawai keselamatan kontinjen. "Pasukan ini kemudian akan menghantar laporan terkini situasi terkini di New Delhi kepada Menteri Belia dan Sukan," katanya di sini, hari ini. Jefri berkata, pasukan pertama Malaysia yang akan ke New Delhi adalah skuad boling padang yang akan berlepas Jumaat ini sebelum kedatangan kontinjen besar negara bermula Selasa depan.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa mendapat laporan harian terkini daripada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di ibu negara India itu terutama yang membabitkan isu keselamatan dan kesihatan.

"Walaupun banyak laporan negatif dilaporkan media asing mengenai tahap keselamatan dan kesihatan di New Delhi, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Delhi sehingga kini mengesahkan tahap keselamatan dan kesihatan adalah terkawal," katanya.

Kontinjen Malaysia yang terdiri daripada 203 atlit akan beraksi dalam 14 acara iaitu akuatik, angkat berat, badminton, berbasikal, gimnastik, hoki, boling padang, memanah, menembak, olahraga, ping pong, skuasy, tinju, ragbi tujuh sebelah serta tiga acara paralimpik. - Bernama

0 comments: