Followers

Friday, September 24, 2010

Singapura berterima kasih kepada Malaysia kerana hantar balik Mas Selamat

SINGAPURA: Singapura berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana menghantar balik individu yang disyaki pemimpin rangkaian pengganas Jemaah Islamiah (JI), Mas Selamat Kastari, yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Malaysia sejak awal tahun lalu.

Kementerian Dalam Negeri republik itu menyampaikan penghargaan tidak terhingga Singapura kepada rakan sejawatannya, pasukan Cawangan Khas dan Tugas Khas Malaysia di atas bantuan mereka berhubung penahanan serta penghantaran balik Mas Selamat ke negara berkenaan.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini berikutan pengumuman polis Malaysia berhubung pembebasan Mas Selamat hari ini, kementerian tersebut berkata penahanan serta penghantaran balik Mas Selamat menggambarkan kerjasama erat antara agensi keselamatan Malaysia dan Singapura yang terjalin sekian lama, selain berkhidmat dengan cemerlang kepada kedua-dua negara.
Kementerian itu berkata Mas Selamat telah diserahkan kepada Singapura hari ini oleh pihak berkuasa Malaysia, namun tidak pula mendedahkan cara, masa dan tempat penyerahan pemimpin JI itu dilakukan.

Kementerian berkenaan juga berkata Mas Selamat telah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri Singapura dan sedang disiasat.

Mas Selamat, 49, telah menyeludup keluar dari Pusat Tahanan Jalan Whitley pada 27 Februari 2008 ketika ditahan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura kerana didakwa mendalangi satu plot merampas sebuah kapal terbang yang akan digunakan untuk merempuh Lapangan Terbang Changi di negara itu.

Pihak berkuasa Singapura terpaksa melancarkan satu gerakan memburu secara besar-besaran, iaitu yang terbesar dalam sejarah republik berkenaan, dengan mengerahkan ribuan anggota keselamatan dari pelbagai agensi perkhidmatan bersenjatanya selama berbulan-bulan, dalam percubaan mengesan Mas Selamat, namun gagal.
Bagaimanapun, setahun kemudian iaitu pada 1 April 2009, Mas Selamat didapati bersembunyi di Johor, dan telah ditangkap oleh pasukan Cawangan Khas Malaysia berikutan kerjasama erat antara agensi keselamatan kedua-dua negara.

Dia kemudian ditahan di Malaysia di bawah ISA dan dihantar balik ke Singapura hari ini atas arahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang telah membatalkan perintah tahanan Mas Selamat pada 10.30 pagi tadi.

Dilahirkan di Singapura, Mas Selamat pernah melarikan diri pada 2001, ketika pihak berkuasa negara itu melancarkan satu operasi menahan rakyatnya yang disyaki mengganggotai JI, tetapi dia ditangkap polis Indonesia di Pulau Bintan pada 2006, sebelum dihantar balik ke republik itu. - BERNAMA

0 comments: