Followers

Monday, September 20, 2010

Rukun Negara akan diperjelas untuk lebih difahami: Rais

KUALA LUMPUR: Lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara akan terus diperjelas dan diperincikan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat memahami intipatinya, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Beliau berkata, kini, prinsip Rukun Negara yang mempunyai pautan dengan gagasan 1Malaysia hanya didengari tanpa difahami. Beliau berkata, bagi meningkatkan pemahaman di kalangan masyarakat, pihaknya akan memulakan kempen penjelasan intipati Rukun Negara menerusi pelbagai projek dan program kementerian itu mulai bulan depan. "Kita akan mengadakan kempen yang lebih meluas dan berkesan untuk semua lapisan masyarakat bersekali dengan 1Malaysia supaya semua pihak memahami isian Rukun Negara yang dirasakan satu-satunya falsafah kenegaraan yang kekal, tetapi tidak mendapat tempat seperti yang diasaskan awalnya pada tahun 1970.

"Kementerian merasakan bahawa pembawaan dan amalan Rukun Negara harus dijadikan elemen yang nyata dan difahami terus-menerus oleh semua lapisan masyarakat," katanya pada majlis perhimpunan bulanan kementerian tersebut di sini, hari ini.

Rais berkata, antara program dan projek yang dikenal pasti untuk diberikan penjelasan ialah menerusi pembudayaan muzik, pementasan, pelajaran dan pendidikan, program Komuniti Bestari dan ceramah oleh Jabatan Penerangan dan Jabatan Hal Ehwal Khas di bawah kementeriannya.

"Bagi pelajar sekolah, kita kini merangka pelbagai program dengan kerjasama Kementerian Pelajaran termasuk mengadakan kuiz berkaitan Rukun Negara dan 1Malaysia.
"Di semua projek kerajaan pula, harus kita paparkan Rukun Negara itu sebagai satu piagam yang jelas supaya dapat mereka (masyarakat) lihat.

"Inilah harapan kita dan kita yakin kempen berterusan ini akan melahirkan semangat kekitaan yang lebih jelas dan mantap," katanya.

Rais berkata, masyarakat yang berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun adalah golongan yang kurang dapat menghayati prinsip Rukun Negara.

"Jadi kita kena cerita semula apa asasnya Rukun Negara itu. Apa ertinya Kepercayaan Kepada Tuhan (prinsip pertama) sehinggalah ke tatasusilaan (Kesopanan dan Kesusilaan), agar setiap baris yang lima itu difahami dari segi sebenar dalam konteks agama, kaum, jabatan dan bidang masing-masing," katanya.

Dalam ucapannya pada perhimpunan tersebut, beliau berkata, Rukun Negara adalah satu pautan yang kuat untuk menyokong dan memantapkan lagi gagasan 1Malaysia.

Beliau berkata, bersama-sama dengan 1Malaysia, pihaknya akan memasukkan elemen Rukun Negara dalam semua projek dan program kementerian berkenaan.

Dalam pada itu, Rais turut menyeru supaya poster yang kekal berkaitan Rukun Negara dan 1Malaysia diadakan.

"Pejabat kita di negeri dan daerah mesti paparkan ini semua (poster Rukun Negara dan 1Malaysia)," katanya. - Bernama

0 comments: