Followers

Sunday, September 19, 2010

Rakyat Malaysia di Perancis sambut Hari Merdeka, Aidilfitri di Paris

KUALA LUMPUR: Lebih 500 tetamu menghadiri sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia dan Hari Raya Aidilfitri yang dihoskan oleh Duta Besar Malaysia ke Perancis, Tan Sri Abdul Aziz Zainal di Rumah Malaysia di Paris, Jumaat lalu.
Menurut satu kenyataan oleh Kedutaan Malaysia di Paris hari ini, tetamu terdiri daripada pegawai kanan kerajaan Perancis, ahli diplomatik termasuk dari kedutaan-kedutaan ASEAN dan juga pemimpin-pemimpin industri.
"Tetamu juga termasuk kira-kira 300 rakyat Malaysia yang menetap dan menuntut di Perancis," kata kenyataan itu.
Duta Besar dan isterinya, Puan Sri Rositah Md Mawi turut menyambut tetamu yang hadir dan mereka dijamu dengan hidangan bufet Hari Raya seperti rendang, nasi minyak, dalca, acar, nasi himpit, sate, kuah kacang, teh tarik, biskut dan juga buah-buahan tempatan Malaysia seperti betik dan nangka.

"Pelbagai masakan dan hidangan rakyat Malaysia yang menyelerakan dihidangkan bagi memeriahkan suasana sambutan perayaan yang menggambarkan semangat 1Malaysia," kata kenyataan itu.
Tetamu rakyat Malaysia juga mengambil peluang untuk beramah mesra dengan Duta Besar yang baru dan isterinya dan begitu juga dengan rakyat Malaysia yang lain ketika majlis itu.

"Majlis itu adalah satu "perhimpunan keluarga" yang besar menghimpunkan rakyat Malaysia," kata kenyataan itu. - Bernama

0 comments: