Followers

Sunday, September 19, 2010

Pelabur berhati-hati apabila pembangkang burukkan kerajaan: Ahmad Husni

TAMBUN: Tindakan pembangkang memburuk-burukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai kesan kepada pelabur asing kerana mereka lebih berhati-hati terhadap suasana sosial di negara ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata langkah pembangkang membangkitkan isu perkauman dan agama di kalangan masyarakat berbilang etnik menimbulkan kegelisahan di kalangan orang-ramai.
Katanya, kegelisahan masyarakat dibimbangi akan bertukar kepada konflik antara etnik dan pelabur mengambil-kira risiko berkenaan sebelum membelanjakan wang mereka di negara ini.
"Prinsip demokrasi di negara kita, selepas pilihanraya parti pembangkang masih bermain politik dengan membangkitkan pelbagai isu kaum dan agama hingga boleh menimbulkan konflik.

"Pelabur asing memang mengambil-kira risiko sosial yang akan mereka tanggung jika melabur di negara yang tidak stabil dari segi sosial ini," katanya kepada pemberita di sini, tengah hari tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan BERNAMA bahawa tindakan pembangkang memburuk-burukkan nama negara mengakibatkan pelaburan langsung asing (FDI) merosot sehingga 81 peratus bagi tahun 2008 dan 2009.

Laporan itu memetik Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir bahawa pembangkang kemudiannya akan menyalahkan kerajaan yang mereka dakwa tidak cekap kerana FDI menyusut.
Mukhriz berkata, pada 2009, jumlah keseluruhan FDI adalah RM5.66 bilion tetapi tiga bulan pertama tahun ini negara sudah menerima FDI RM5.6 bilion, satu jumlah yang hampir dengan pelaburan sepanjang tahun lalu.

0 comments: