Followers

Saturday, September 18, 2010

Kes Sosilawati: Suspek utama, 2 lagi disambung reman Sabtu depan

KUALA LUMPUR: Dua peguam adik beradik dan seorang lagi suspek kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain disambung reman sehingga 25 September ini.
Semalam, laporan menyebut polis akan memohon lanjutan reman untuk tiga dari lapan suspek yang ditahan berhubung kes pembunuhan Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata permohonan itu akan dikemukakan hari ini dan tempoh lanjutan itu akan bergantung kepada keputusan Majistret.
Polis membuat tangkapan pertama pada 9 September melibatkan seorang lelaki dipercayai Datuk dan adiknya yang juga seorang peguam di Banting, manakala enam lagi ditahan pada 10 September.

Dilaporkan tempoh reman lima suspek disambung hingga Khamis ini (23 September) manakala tempoh reman tiga lagi, termasuk dua peguam itu tamat hari ini.

Mereka ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Keempat-empat mangsa disahkan dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting.

0 comments: