Followers

Monday, September 20, 2010

Keluarga suspek mahu jaga bayi yang dibuang

ALOR SETAR: Keluarga penuntut sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam di Lembah Klang yang ditahan Sabtu lalu kerana membuang bayi yang baru dilahirkannya, berhasrat menjaga bayi perempuan itu.
Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Jitra (JKM), Mohd Shabbri Othman, berkata hasrat itu dimaklumkan kepada pejabat JKM daerah oleh ibu dan bapa penuntut itu yang berusia dalam lingkungan 50-an semalam. "Dalam kes ini sangat penting untuk keluarga pelajar berkenaan memberi sokongan kepada ibu serta anak itu dan kami akan terus memantau perkembangan bayi berkenaan selepas mereka keluar dari hospital," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Sabtu lalu, penuntut berusia 20 tahun itu ditahan pada jam 8.30 malam selepas disyaki membuang bayinya di belakang rumah keluarganya di Taman Rasa Sayang, Jitra di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Ibrahim Mohd Yusoff, berkata bayi seberat 2.8 kilogram yang masih bertali pusat itu ditemui pada jam 5.30 petang dan dihantar ke Hospital Jitra untuk rawatan.

Difahamkan penuntut itu pulang ke kampung sempena Hari Raya dan ibu bapanya tidak mengetahui dia mengandung.

Bayi itu dipercayai dilahirkan di bilik air rumah keluarganya sebelum diletakkan di belakang rumah itu. - Bernama

0 comments: