Followers

Thursday, September 23, 2010

Isu mualaf kembali ke agama asal isu terpencil: PERKIM

KUALA LUMPUR: Isu sebilangan golongan mualaf keluar daripada agama Islam merupakan isu terpencil dan kebanyakannya berpunca daripada kegagalan rumah tangga, kata Naib Yang Dipertua I, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Datuk Seri Shahidan Kassim.
Beliau berkata bagi mereka yang baru memeluk agama Islam bimbingan dan dorongan sangat penting dan sekiranya perceraian berlaku kebarangkalian mereka untuk kembali ke agama asal adalah tinggi.
Shahidan berkata perkara sebegini tidak akan berlaku sekiranya seseorang itu memeluk Islam secara sukarela dan bukan atas dasar perkahwinan.
"Orang yang kahwin itu kadang-kala dia sendiri pun tidak ambil kisah tentang agama Islam. Jadi, sebab itu kes-kes sebegini boleh berlaku. Tapi jika orang yang berkahwin dan menganggap perkahwinan itu satu tanggungjawab bila dia berkahwin dengan orang Islam maka masalah ini tidak akan terjadi.

"Bukan semua orang Islam yang berkahwin dengan bukan Islam, orang Islam yang sebenar-benarnya.

"Kadang-kadang orang Islam itu sendiri pun menjauhi agama... tidak mendekati agama, jadi benda-benda ini boleh berlaku," katanya kepada Bernama pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PERKIM di sini hari ini.

Naib Yang Dipertua II PERKIM, Prof Emeritus Datuk Ariffin Suhaimi berkata PERKIM tidak mempunyai kuasa daripada segi undang-undang bagi menyelesaikan isu itu.
Beliau berkata sebagai organisasi bukan kerajaan (NGO) yang berperanan menyemarakkan usaha dakwah dan penyebaran syiar Islam, Perkim menyediakan khidmat kaunseling dan bimbingan bagi membantu saudara baru .

"PERKIM hanya sebagai badan dakwah. Perkim hanya berdakwah dan membantu mereka yang mahu memeluk Islam," katanya. - BERNAMA

0 comments: