Followers

Friday, September 24, 2010

'BENDERA perlu hormat Malaysia'

Kes amah didera tak patut dijadikan sebab cetus kekecohan: Muhyiddin
SERI KEMBANGAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengingatkan Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (BENDERA), Malaysia mempunyai sistem perundangan dan juga terikat dengan konvensyen antarabangsa untuk melindungi pekerja di negara ini, termasuk dari republik itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan Malaysia memberi jaminan pihak yang didakwa melakukan jenayah terhadap pekerja Indonesia akan dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman setimpal jika disabitkan kesalahan.
Sehubungan itu, katanya, sebarang kes berlaku tidak harus mencetuskan keadaan buruk sehingga memutuskan hubungan baik yang sudah terjalin antara Malaysia dan Indonesia selama ini.
Kita masih berpendapat yang penting hubungan antara Malaysia dan Indonesia mesti baik. Kita mengambil pendekatan sebarang isu berbangkit antara kedua-dua negara mesti diselesaikan menerusi saluran diplomatik, katanya pada sidang akhbar selepas mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, merasmikan Seminar Serantau Ke-10: Menjenayahkan Rasuah di sini, semalam.

Sementara itu, Wisma Putra tidak akan memanggil pulang Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan walaupun wujud ancaman daripada BENDERA menuntut beliau keluar dari negara itu.

Timbalan Menteri Luar, A Kohilan Pillay mengesahkan tiada arahan dikeluarkan oleh Wisma Putra bagi memanggil pulang Duta Besar atau semua pegawai yang bertugas di Indonesia selepas timbul ancaman itu.

Syed Munshe Afdzaruddin ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung tuntutan BENDERA itu.
Ketua Canseri Pejabat Kedutaan Malaysia, Raja Reza Raja Zaib Shah berkata, sehingga kini pejabat kedutaan di Kuningan, Jakarta tidak menerima arahan rasmi dari Wisma Putra meminta duta atau pegawai yang bertugas di Indonesia pulang.

Tiada arahan dikeluarkan dari Wisma Putra meminta Datuk Syed Munshe Afdzaruddin atau diplomat kita di Indonesia pulang. Lagipun keadaan di sini sebenarnya selamat. Memang benar berlaku tunjuk perasaan tetapi ia tidak mengancam keselamatan warga Malaysia.

Malah kerajaan Indonesia memberi jaminan akan menjaga keselamatan kepentingan Malaysia termasuk diplomat, pekerja, pelajar dan pelancong Malaysia. Polis Indonesia turut berkawal di kedutaan dan kawasan yang memiliki kepentingan Malaysia, katanya.

Naib Presiden MCA, Datuk Wira Chor Chee Heung dalam kenyataan medianya berkata, MCA mengutuk tindakan melampau penunjuk perasaan berkenaan dan menuntut pihak berkuasa di Indonesia mengawal tindakan ekstrim penunjuk perasaan terbabit.

0 comments: